Google

Google

Monday, April 13, 2009

XanGo rancang buka pejabat di lima negeri



KUALA LUMPUR 12 April - XanGo LLC, (XanGo) syarikat jualan langsung pelbagai peringkat (MLM) jus manggis, bercadang membuka pejabat di luar kawasan Lembah Klang tahun ini, dalam usaha untuk mengukuhkan kedudukannya.

Pengurus Besar Asia Tenggaranya, Tai Tolman berkata, pihaknya berhasrat membuka pejabat di Pulau Pinang, Melaka, Johor Bahru, Kuching dan Kota Kinabalu dalam usaha meningkatkan penguasaan pasaran.

Katanya, usaha peluasan berkenaan bakal menjadikan syarikat produk tunggal itu, salah satu MLM terbesar di negara ini selain meningkatkan operasi eksportnya.

"Kami mahu membangunkan produk di sini terlebih dahulu sebelum mengembangkan perniagaan secara agresif di negeri-negeri lain walaupun sudah dua tahun beroperasi di Malaysia.

"Buat masa ini, pelbagai aktiviti termasuk pameran bergerak dan seminar sedang dilaksanakan di bandar utama melalui pusat pengedaran yang ditubuhkan di negeri-negeri berkenaan," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di sini baru-baru ini.

XanGo yang diasaskan pada tahun 2002 berpengkalan di Lehi, Utah, Amerika Syarikat (AS) mengedarkan jus manggis yang juga diberikan jenama XanGo sebagai makanan tambahan.

Buah manggis yang diberi jolokan 'Permaisuri Segala Buah' oleh rakyat tempatan atau nama saintifiknya Garcinia mangostana merupakan bahan utama dalam jus XanGo yang diperkenalkan di Malaysia pada 28 Jun 2007.

Botol bersaiz 750 mililiter (ml) yang dipakejkan dalam botol elegan dipasarkan sebagai minuman premium dan dijual secara eksklusif menerusi MLM.

Menurut Tolman, XanGo bertumpu terhadap Malaysia kerana ingin mempunyai kehadiran di negara ini sebelum meluaskan perniagaan ke Indonesia dan Thailand.

Kami menjadikan Malaysia sebagai pusat Asia Tenggara kerana ia merupakan pasaran logistik yang menarik selain rakyatnya yang fasih dalam pelbagai bahasa.

"Ini bukan sahaja produk dan jenama yang bagus malah cara terbaik bagi menjana pendapatan bagi orang ramai khususnya pengusaha tempatan dan juga adalah hasrat pengasas untuk beroperasi di sini memandangkan Malaysia adalah tempat asal penemuan jus ini," katanya.

Beliau memberitahu pengasas XanGo iaitu Joe Morton mulai menemui khasiat manggis yang kaya dengan fitonutrien (zat daripada tumbuhan) iaitu, xanthon yang bertindak sebagai anti-oksida ketika bertugas di Malaysia pada 1997.

Menerusi pemerhatian, Morton mendapati bahawa kulit, batang dan isi manggis digunakan turun temurun sebagai ubat tradisional untuk luaran dan dalaman tubuh badan manusia, katanya.

Menurutnya, jualan bagi bulan pertama sejak ia dilancarkan di Malaysia telah mencecah AS$1 juta (RM3.6 juta) dan mencatat pertumbuhan sebanyak 238 peratus sepanjang dua tahun beroperasi di Malaysia.

"Pertumbuhan yang luar biasa XanGo dalam industri MLM disokong oleh kualiti unik produknya.

"Produk ini hanya dieksport selepas buah manggis yang dipetik dari tanaman di sekitar Asia Tenggara, dipuri dan dibekukan serta merta sebelum dihantarkan ke AS untuk dikilangkan menggunakan teknik yang melibatkan 220 langkah pemprosesan," jelas beliau.

Jus XanGo, campuran puri manggis dengan pati jus lapan buah-buahan yang lain termasuk epal, pear, anggur, beri biru, raspberi, strawberi, kranberi dan ceri dijual pada harga RM140 sebotol.

No comments: